Dewan Undangan Negeri Johor hari ini meluluskan Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 (Pindaan 2015) yang menyaksikan kenaikan elaun 56 anggota Dewan Undangan Negeri daripada RM5,000 kepada RM9,000 sebulan, berkuat kuasa 1 Jan lepas.

    

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (BN-Permas) dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Johor Md Jais Sarday (BN-Mahkota).

    

Mohamed Khaled berkata semakan terakhir elaun Adun adalah pada tahun 2009 dan cadangan untuk menaikkan elaun bulanan pada kadar bersamaan Gred 54 itu dicadangkan beliau semasa pembentangan Bajet Johor 2015, 13 Nov lepas.

    

"Kenaikan ini tidak terlalu membebankan dan mampu dibiayai oleh kerajaan negeri. Pada tahun lepas, Johor mempunyai lebihan sebanyak RM300 juta dan RM400 juta pada tahun sebelumnya.

    

"Maka, sewajarnya sedikit daripada pendapatan lebihan ini digunakan untuk membolehkan ahli dewan menerima ganjaran sesuai dengan pembangunan pesat Johor," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di Kota Iskandar, di Nusajaya hari ini.

Beliau berkata secara perbandingan, kenaikan elaun Adun itu tidak jauh beza dengan Negeri Sembilan iaitu RM8,954, Sabah (RM7,950), dan Perak (RM8,000) malah jumlah itu lebih rendah jika dibandingkan dengan Sarawak iaitu RM15,000 serta Selangor RM11,250.

    

Menurut Mohamed Khaled, antara alasan yang wajar bagi kenaikan elaun itu ialah peranan dan tanggungjawab besar para Adun kepada masyarakat dan negara selain tanggungjawab legislatif bagi memastikan masyarakat dan negeri bertambah baik.

    

"Kedua-dua peranan dan tanggungjawab itu sangat penting. Jika kita mengharapkan perkhidmatan luar biasa tetapi ganjarannya sekadar jumlah yang tidak berpada, maka ia adalah sesuatu yang sangat tidak adil dan tidak munasabah.

    

"Kebanyakan kita lupa bahawa begitu banyak profesional di luar sana yang mempunyai pendapatan sangat tinggi dan lumayan. Justeru, saya yakin jumlah yang dicadangkan pada hari ini adalah setimpal dan berlebihan," katanya yang kemudian mendapat sokongan majoriti para Adun.

    

Persidangan dewan kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

    

-Bernama