Kawasan demo jadi pasar terapung
Pada masa lalu, kawasan di sekitar Rumah Kerajaan di Bangkok menjadi pusat bagi protes politik, namun pada awal tahun ini ia telah berubah.
Kalau dulunya orang ramai datang ke kawasan itu untuk tujuan protes politik, kini mereka datang untuk membeli bunga orkid atau barangan di pasar terapung sementara di terusan dekat Rumah Kerajaan yang secara rasminya dibuka semalam.
Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-Ocha, yang mengetuai rampasan kuasa oleh tentera yang menggulingkan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, malah sempat berjenaka tentang perubahan itu.
"Bolehkah anda semua berjanji dengan saya untuk tidak mengadakan protes di sini?," katanya secara berseloroh dalam ucapannya semasa merasmikan pasar terapung itu.
"Ya, Tuan!," sahut kalangan mereka yang hadir dengan kuat.
Merujuk pada perubahan itu sejak rampasan kuasa pada 22 Mei tahun lepas, Prayuth berkata acara hari ini tidak akan dapat diadakan sekiranya berlaku demonstrasi.
Pasar terapung itu - yang diilhamkan oleh perdana menteri pada bulan lepas, akan dibuka sehingga 1 Mac.
Pasar itu terdapat di sepanjang jalan di tepi terusan itu dan termasuk pasar orkid yang dibuka bulan lepas.
Sebelum rampasan kuasa pada 22 Mei, Rumah Kerajaan - yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri - tidak dihuni selepas Yingluck dihalang oleh penunjuk perasaan daripada memasukinya.
-Bernama

