Nuha: Masih awal cakap isu calon
Spekulasi menjadi-jadi bahawa Nurul Nuha, anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan bertanding mempertahankan kerusi di kubu kuat bapanya di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Ekoran sabitan kesalahan dan hukuman penjara terhadap ketua pembangkang, kerusi itu diisytiharkan kosong dan pilihan raya kecil akan dijalankan.
Nuha, bagaimanapun, dalam wawancara dengan Malaysiakini mengambil sikap mahu meredakan cakap-cakap itu.
“Masih awal untuk bercakap tentang perkara itu, biarlah begitu sahaja,” katanya.
“Sepanjang pengetahuan saya, tiada sebarang perbincangan berhubung perkara itu.”
Selepas Anwar dipenjarakan pada Selasa lepas, Nuha dikatakan akan memikul tanggungjawab bapanya itu di kerusi parlimen itu.
Ia dikuatkan lagi dengan peranannya sebagai sosok penting dalam kempen setiakwan dengan Anwar dinamakan “Berarak Demi Kebebasan” bagi menuntut pembebasan ketua umum PKR itu.
Dalam sabitan kes Anwar pada 1999, isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan kakak sulung Nuha, Nurul Izzah memainkan peranan hampir sama di barisan depan.
Wan Azizah, kini presiden PKR, pernah bertanding di Permatang Pauh dan menjadi penyandang sehingga 2008.
Azizah kemudian meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke parlimen.

