Penjara: Tiada layanan istimewa buat Anwar
Jabatan Penjara menjelaskan tiada keistimewaan diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau menerima layanan sama seperti banduan lain di Penjara Sungai Buloh.
Menulis di Facebook rasminya, jabatan itu memuat naik semula laporan berhubung perkara itu yang memetik seorang pegawai kanannya.
Mengulas lanjut, pihak penjara berkata makanan disediakan kepada banduan berbeza-beza berasaskan syor perubatan demi kesihatan mereka.
Begitu juga dalam isu penggunaan Internet yang larangannya terpakai kepada semua pihak serta tempoh perjumpaan dengan anggota keluarga, dalam status lain di Facebook sama.
Perkara itu timbul selepas status Facebook Anwar dikemaskini pada hari pengebumian tokoh PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tiga hari selepas Anwar dimasukkan ke penjara.
Jabatan itu semalam telah menjelaskan bahawa sesiapa sahaja boleh mengendalikan laman sosial ketua pembangkang itu daripada luar penjara.

