Gerakan: Arahan tutup kedai jejas perniagaan
Parti Gerakan menganggap arahan Majlis Perbandaran Kota Bharu kepada peniaga untuk menutup kedai semasa solat Jumaat bertentangan dengan hak masyarakat bukan Islam di negeri itu.
Naib presiden parti itu, Datuk Dominic Lau berkata, beliau kecewa dengan arahan tersebut, yang menurutnya akan menjejaskan pelancongan dan pembangunan ekonomi di negeri tersebut.
“Penutupan selama dua jam setiap hari Jumaat itu secara kebetulan jatuh pada masa makan tengahari. Perniagaan tempatan akan mengalami kerugian dan secara tidak langsung menjejaskan pertumbuhan (ekonomi) negeri,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Lau berkata arahan tersebut tidak memberi jaminan bahawa Majlis Perbandaran Kota Bharu akan berjaya mengawal masyarakat Islam seperti yang dinyatakan dalam tujuannya.
“Walau kami menghormati hak orang Islam untuk menjalankan ibadat pada hari Jumaat, premis bukan Islam tidak seharusnya tertakluk kepada arahan penutupan selama dua jam itu,” katanya.
Tambahnya, arahan berkenaan tidak harus dikuatkuasa kepada semua “selagi pekerja Islam dibenarkan untuk pergi menunaikan solat Jumaat oleh majikan”.
Beliau turut menyelar arahan sama yang dikeluarkan kerajaan negeri Terengganu pada awal tahun ini.
Arahan kepada peniaga di Kota Bharu itu diperkenalkan pada pertengahan bulan lalu melalui satu surat oleh MPKB bertarikh 14 Januari.
Ia telah mengarahkan semua premis perniagaan dan tidak terhad kepada yang mempunyai peniaga beragama Islam sahaja untuk membuat penutupan dari pukul 12.30 tengahari hingga pukul 2 petang pada setiap hari Jumaat.
Surat berkenaan turut memberi amaran bahawa tindakan akan dikenakan ke atas peniaga yang ingar.

