Siapa sangka usaha Pemuda Umno untuk menjaja kisah Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke seluruh negara mengundang rasa 'kagum' lawannya Pemuda PKR (AMK).

Ini kerana, kata mereka, Pemuda Umno beriaya-iya “mempertahankan sistem bobrok dan pelaksanaan hukum yang dikritik hebat” termasuk di peringkat antarabangsa.

“Sedang Malaysia mengalami masalah ekonomi yang boleh disifatkan sebagai antara yang paling teruk dalam sejarah pembinaan Negara, amat malang jika sayap pemuda yang mewakili pemerintah meletakkan sebaran fitnah sebagai agenda utama mereka,” kata Setiausaha AMK Nor Hizwan Ahmad.

Khairy semalam berkata, BN tidak akan berdiam diri lagi bagi menghadapi dakwaan pembangkang bahawa kes itu sebuah konspirasi.

Program sulungnya di Kuala Lumpur bagi menjelaskan perkara itu malam tadi, menampilkan peguam utama pendakwaan kes Liwat II Tan Sri Shafee Abdullah ( atas ) untuk “menyatakan kebenaran”.

Peguam kanan itu, menceritakan butiran perbicaraan tertutup kes itu menyebabkan terdapat kalangan hadirin tidak senang dan merah muka.

Cabar debat

Perkara dibangkitkan, antaranya, tentang tindakan Anwar “mencubit puting dada Saiful” dan bertanya soalan " can I f**k you today? ” (boleh saya adakan hubungan seks dengan kamu hari ini)".

Dalam kenyataannya hari ini, Hizwan berkata, penglibatan Shafie dalam acara itu menguatkan andaian terdapat “rancangan beasr dan konspirasi politik” untuk menamatkan riwayat politik Anwar ( kiri ).

Justeru itu, AMK mencabar pemuda Umno berdebat di hadapan rakyat agar rakyat dapat “menilai antara yang benar dan yang fitnah,” katanya.

“Jika masih terdapat sekelumit rasa berani dalam jiwa Pemuda Umno, jangan berselindung disebalik kuasa dan pangkat.

“Ayuh berhadapan dengan kami di pentas debat!

"Seluas tanah air ini akan menjadi kamar bicara dan rakyat seluruhnya adalah hakim negara,” katanya.