Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel akan memanggil mesyuarat segera Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 untuk penubuhan sebuah jawatankuasa pemilihan bebas di kalangan parti itu, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, perkara itu dicapai dalam mesyuarat peringkat tinggi BN yang dihadiri Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Palanivel dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini.

Mesyuarat itu turut disertai Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau sendiri, katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Adnan berkata perjumpaan itu mencapai keputusan untuk pemilihan semula MIC diadakan.

"Antara keputusan perjumpaan itu ialah untuk mengguna pakai senarai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC tahun 2009 seperti yang diputuskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS)," katanya.

Kehadiran Palanivel dalam perjumpaan itu merupakan perkembangan terbaru dalam penyelesaian kemelut parti tersebut selepas beliau tidak hadir dalam perjumpaan dengan Najib serta Subramaniam Isnin lalu.

Menurut Tengku Adnan, pemilihan peringkat cawangan MIC akan diadakan pada bulan April ini manakala pemilihan Presiden MIC diadakan pada bulan Mei depan.

"Pemilihan peringkat Bahagian MIC diadakan pada bulan Jun 2015 manakala pemilihan sayap Wanita, sayap Pemuda, sayap Putera dan sayap Puteri MIC diadakan dalam tempoh dari April hingga Jun 2015," katanya.

Pemilihan jawatan Timbalan Presiden, anggota CWC dan Naib Presiden serta mesyuarat agung MIC diadakan dalam bulan Julai 2015, katanya.

Pada 9 Februari lalu, ROS memutuskan bahawa MIC perlu mengadakan semula pemilihan bagi semua jawatan daripada peringkat presiden hingga cawangan parti.

Antara arahan ROS ialah anggota CWC yang dipilih pada tahun 2009 akan memegang jawatan sebagai anggota CWC Sementara sehingga proses pemilihan semula selesai sepenuhnya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Palanivel berkata beliau akan mengarahkan setiausaha agung parti untuk mengadakan mesyuarat CWC Sementara 2009 secepat mungkin selepas Tahun Baharu Cina.

 

Tanpa mendedahkan tarikh sebenar, Palanivel berkata beliau juga akan menghantar surat kepada Tengku Adnan untuk memaklumkan tentang perkara itu.

 

Pada 9 Februari, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata MIC perlu mengadakan pilihan raya semula semua jawatan antara April dan Julai tahun ini bagi mengelak parti itu dibatalkan pendaftarannya.

 

Kemelut itu timbul setelah ROS membatalkan pemilihan tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan CWC, yang diadakan di Melaka pada November 2013, susulan aduan berlaku penyelewengan.

 

Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, ROS mengarahkan MIC supaya mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari.

- Bernama