Kebakaran berlaku di sebuah bilik pengeluaran di sebuah kilang elektronik di Taman Perindustrian Batu Berendam, di Melaka hari ini menyebabkan sebuah daripada tiga tangki mengandungi bahan kimia berbahaya bocor.

           

Timbalan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Kamarulzaman Mohd Din berkata pihak bomba telah mengambil langkah meneutralkan bahan kimia itu kerana jika dihidu secara berterusan boleh menyebabkan pengsan dan menjejaskan kesihatan.

           

Katanya tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 8.15 pagi itu difahamkan bermula daripada sebuah mesin di bilik itu dipercayai akibat litar pintas.

           

"Pihak kami menerima panggilan pada 8.16 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Jalan Kubu dan Bukit Katil, termasuk Unit Bahan Bahaya (Hazmat)," katanya kepada pemberita.

           

Katanya ketika pihak bomba tiba, api sedang marak dan bomba berjaya mengawalkebakaran dan menyelamatkan sebuah tangki berisi bahan kimia jenis asid sulfurik yang terletak kira-kira dua meter dari tiga tangki mengandungi bahan kimia Pottasium Silver Cyanide dengan satu daripadanya mengalami kebocoran.

           

"Kedua-dua bahan kimia tersebut (Pottasium Silver Cyanide dan Asid Sulfurik) jika bercampur boleh menyebabkan letupan yang kuat dan kebakaran lebih serius," katanya.

   

Kamarulzaman berkata anggota bomba dan pekerja yang terbabit menjalani proses saringan untuk menyahkan bahan kimia daripada pakaian dan badan mereka sebelum dibenarkan pulang.

           

Sementara itu, seorang jurucakap bomba ketika dihubungi berkata 13 anggota bomba yang terlibat dalam memadam kebakaran itu telah dibawa ke Hospital Melaka di sini bagi pemeriksaan untuk memastikan tiada tindak balas daripada bahan kimia itu. 

  

"Mereka ditahan di unit kecemasan selama enam jam bagi memastikan keselamatan masing-masing," katanya.

- Bernama