Seorang bayi lelaki berusia 20 bulan maut selepas tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya yang kemalangan di KM201.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Melaka semalam.

   

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata Muhammad Anas Nazhan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepalanya dalam kejadian 5.50 petang itu.

    

Ibu bayi itu, Norhayati Md Isa, 30, juga cedera parah manakala bapanya,Shamsul Azwan Abu bakar, 29, cedera ringan.

   

"Dalam kejadian itu, kereta yang dipandu Shamsul Azwan dari arah Melaka keKuala Lumpur telah hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas ke kiri jalan dan terbalik," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

   

Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala ibunya dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

 

Sementara itu, di Kota Kinabalu, seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan sebuah pikap di Kilometer 28 Jalan Papar-Beaufort hari ini.

               

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Chong Tseng Kong, 59, manakala isterinya Chong Mui Ken, 56, patah tulang rusuk kanan dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

               

Ketua Polis Daerah Papar, DSP Geaorge Abd Rakman ketika dihubungi berkata semasa kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa dan isterinya dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu ke Beaufort.

               

Apabila tiba di lokasi kejadian sebuah pikap yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan selepas melanggar bahagian kanan belakang sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah yang sama apabila kereta itu tiba-tiba menukar laluan ke kanan jalan raya tiga lorong itu.

               

Katanya pemandu pikap berkenaan cuma mengalami kecederaan ringan manakala pemandu dan penumpang Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama