Adam Adli, Fariz Musa dibebaskan
Selepas bermalam di lokap Jinjang, polis hari ini membebaskan aktivis Adam Adli Abdul Halim dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Fariz Musa.
“Tiada permohonan reman dipohon,” kata peguam mereka Michelle Yesudas di Facebook pagi tadi.
Adam dan Fariz ditahan polis ketika menyertai perhimpunan setiakawan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di depan kompleks membeli-belah Sogo, Kuala Lumpur.
Mereka dipercayai ditahan bawah seksyen 143, Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan haram.
Perhimpunan semalam bermula dengan tarian singa sempena sambutan Tahun Baru Cina, yang menarik perhatian kira-kira 200 pengunjung ke pusat membeli belah itu.
Kumpulan tarian singa itu kemudian menyerahkan tulisan khat Cina kepada anak kedua Anwar – Nurul Nuha.
Anwar sedang menjalani hukuman lima tahun penjara selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya terhadap sabitan tuduhan liwat ke atasnya.

