NGO sasar sebulan 10 rumah pada mangsa banjir
Badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Cakna Untuk Tetamu Negeri Kelantan (CUT) menyasarkan pembinaan 80 buah rumah jenis bertiang setinggi 0.5 meter untuk mangsa banjir di Kampung Pasir Tumbuh, Bertam, menjelang Oktober ini.
Setiausaha Agungnya, Helmi Mat Ail berkata sejak sebulan memulakan projek itu, pihaknya telah menyiapkan 15 rumah manakala bakinya akan dilaksanakan secara berperingkat dengan menetapkan 10 rumah disiapkan setiap bulan.
"Pembinaan rumah untuk mangsa banjir itu juga tidak menelan belanja yang tinggi, sebaliknya antara RM15,000 hingga RM25,000 sebuah.
"Kos itu meliputi perbelanjaan menyediakan bahan binaan dan upah pekerja serta meroboh rumah sedia ada yang rosak untuk dibina baharu di tapak sama,” katanya ketika ditemui Bernama di kampung itu di Gua Musang hari ini.
Helmi berkata rumah berkeluasan 7.3 meter x 9.7 meter itu mempunyai tiga bilik tidur, tandas, dapur dan ruang tamu sebagaimana yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau berkata ada penduduk yang tidak mahu rumah mereka dibina lebih besar kerana tinggal suami isteri sahaja dan memerlukan hanya satu bilik tidur sahaja.
“Itu bukan kita yang tetapkan tetapi pemilik rumah yang mahu kita berbuat demikian kerana mereka bukan daripada kalangan keluarga yang ramai, namun kebanyakannya ikut pelan asal yang ditetapkan,” katanya.
- Bernama

