Pua: Mana untung usahasama 1MDB?
MP DAP Tony Pua berkata, penjelasan oleh CEO 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak memadai dan “jelas cuba mengelak” dari isu melibatkan dana firma pelaburan tersebut.
“Arul Kanda (Kandasamy) jelas sekali mengelak dari menjawab mengenai usaha menyalurkan AS$700 juta dari 1MDB kepada Petrosaudi atau pemegang saham atas namanya,” kata Pua.
Beliau menambah, ini jelas merupakan kegagalan pengarah syarikat tersebut “dalam menjalankan tanggungjawab fidusiari dan tatakelola korporatnya”.
Pua merujuk kepada perjanjian usaha sama bertarikh 29 Sept 2009 di antara 1MDB dengan Petrosaudi International Limited.
Dalam perjanjian itu, 1MDB melanggan kira-kira 40 peratus daripada saham 1MDB Petrosaudi Limited berjumlah kira-kira AS$1 bilion.
Pelaburan itu dibuat walau unit yang dibentuk itu menanggung hutang sedia ada berjumlah AS$700 juta. Hutang berkenaan dilangsaikan serta merta selepas usaha sama tersebut ditandatangani, menggunakan dana suntikan 1MDB.
Pinjaman sebanyak US$700 juta itu dipinjam daripada Petrosaudi International, susulan perjanjian di antara 1MDB Petrosaudi Ltd dan syarikat induknya pada 25 Sept 2009, seminggu selepas ia dikorporatkan.
“Pada pandangan pertama, ia nampak seperti satu usaha penipuan,” kata Pua dalam sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur pagi ini.

