Dua lelaki yang menipu seorang "jutawan" Arab dengan menjual lukisan palsu akhirnya dibayar dengan wang palsu!

Mereka cuba menjual lukisan artis Sepanyol abad ke-19 dengan harga 4 juta Euro tetapi dibayar 1.7 juta wang palsu Swiss Francs sebagai bayaran awal, lapor The Independent .

Dua beradik dari Sepanyol ini asalnya tertipu apabila menyangka telah berjaya membeli lukisan asli potret bersaiz 80cm x 60cm karya Antonio Maria Esquivel pada 2003.

Two con-men selling forged painting get paid... with fake money http://t.co/xLTUCKIppl pic.twitter.com/Kr24JSyPit

— The Independent (@Independent) February 23, 2015

Mereka membayar 20,000 Euro sebagai pendahuluan daripada harga penuh 270,000 Euro sebelum pakar mengesahkan lukisan tersebut itu palsu.

Bagaimanapun, menurut portal Inggeris itu, mahkamah pada 2006 memutuskan dua beradik itu boleh menyimpan lukisan tersebut tanpa perlu membayar harga penuh.

Dengan sijil palsu, pada Disember lalu, dua lelaki itu cuba pula menjual lukisan Goya itu kepada seorang "saudagar" Arab melalui seorang broker Itali.

Mereka membayar orang tengah itu dengan wang tulen 300,000 Euro sebagai komsiyen.

Percaya pada orang tengah itu, dua beradik itu bertolak ke Turin, Itali untuk mendapatkan wang pendahuluan 1.7 juta Swiss Francs.

Apabila wang itu dimasukkan di sebuah bank di Geneva, Switzerland, mereka diberitahu wang itu hanyalah salinan fotokopi.

Lebih malang lagi, dalam perjalanan pulang dari Switzerland, dua beradik itu ditahan pihak berkuasa Perancis kerana menyimpan wang palsu dan mereka diserahkan kepada pihak berkuasa Sepanyol.

Lukisan palsu itu dirampas dan dua beradik itu, yang tidak dinamakan, akhirnya didakwa di mahkamah atas tuduhan percubaan menipu.

"Saudagar" Arab dan orang tengah yang menerima komisyen 300,000 Euro (wang tulen!) itu pula tidak dapat dikesan.