Naib Presiden PKR Rafizi Ramli membangkitkan soal kesahihan kenyataan dibuat oleh DSP Jude Pereira, yang dilihatnya tidak berwibawa.

Rafizi berkata, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sendiri menyebut bahawa beliau bukan saksi berwibawa.

Anggota parlimen Pandan itu berkata rakyat Malaysia tidak patut mendengar apa yang diperkatakan Pereira ekoran terdapat prosedur dijalankan dengan tidak teratur.

Rafizi membangkitkan tindakan Pereira tidak mengikut prosedur polis dengan membuka bekas bukti, seperti dibangkitkan di mahkamah.

“Seseorang macam ini... macam-macam boleh keluar dari mulutnya,” kata Rafizi.

Pegawai penyiasat dalam kes Liwat II itu mendakwa beliau telah menemui bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan sebelum pilihan raya umum 2013.

Pereira mendakwa, dalam pertemuan dengan Sanjeevan itu, beliau diminta untuk membangkitkan dakwaan bahawa terdapat konspirasi terhadap Anwar.

Pereira juga mendakwa, beliau diberitahu bahawa kepentingannya akan terjaga sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum itu.

[Baca berita asal]