Pencarian MH370 mungkin ditamatkan
Pencarian pesawat MH370 tidak boleh diteruskan selama-lamanya, kata Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss.
Perbincangan ke arah itu sedang dibuat antara Australia, China dan Malaysia sama ada untuk menamatkan operasi panjang itu dalam tempoh seminggu lagi, lapor Reuters .
Usaha menjejak pesawat Boeing 777 membawa 239 penumpang dan anak kapal yang hilang kira-kira setahun lalu itu terus menjadi misteri besar dalam sejarah penerbangan dunia.
MH370 hilang daripada radar sejurus selepas bertolak daripada Kuala Lumpur untuk ke Beijing pada 8 Mac.
Pasukan penyiasat percaya ia terbang ribuan kilometer sebelum terhempas di Lautan Hindi.
Perbincangan berhubung tindakan lanjut sudah diambil, termasuk kemungkinan menamatkan pencarian, kata Truss yang juga menteri pengangkutan negara itu.
“Kita tidak boleh terus mencari selama-lamanya, tetapi kita mahu terus lakukan apa yang mungkin untuk mendapatkan pesawat itu.”

