NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) tidak terlibat dan campurtangan dalam pergolakan yang berlaku dalam PAS, kata Presidennya Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Beliau yang juga ADUN PAS Pengkalan Kundor berkata turut menyifatkan dakwaan cuba menggulingkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bukanlah budaya yang diamalkan dalam PAS, lapor Sinar Harian hari ini.

"Ini bukan budaya dalam PAS. Isu menggulingkan pemimpin tidak pernah berlaku. Apa yang disebutkan (guling Hadi) adalah perkara yang luar biasa.

"PasMa sendiri tidak terlibat dan tidak campur tangan di dalam pergolakan yang berlaku dalam PAS," katanya seperti dilaporkan akhbar itu.

Phahrolrazi yang juga bekas exco Kedah mengulas mengenai wujudnya pihak yang mahu menggulingkan Hadi selain dakwaan wujud dua kumpulan dalam PAS.

Sementara itu, dalam laporan yang lain, beliau berkata PasMa tidak akan meletakkan calon di kalangan ahlinya untuk bertanding mencabar calon PAS pada pilihan raya kecil Dun Chempaka.

Akhbar itu menyebut Phahrolrazi berkata ini kerana kumpulan yang diketuainya didaftarkan sebagai NGO dan bukan parti politik.

"PasMa tidak terlibat dengan pilihan raya kecilk itu untuk bertanding kerana PasMa didaftarkan sebagai sebuah NGO, bukan parti politik.

"Bermakna ahli PasMa hanya boleh bertanding atas tiket PasMa kecuali ada ahli yang menawarkan diri bertanding atas tiket bebas," katanya seperti dilaporkan akhbar itu.