Seorang anggota Parlimen hari ini mempersoal sama ada hartawan Jho Low terlibat menentukan dasar luar Perdana Menteri Datuk Najib Razak dengan Arab Saudi.

Ong Kian Ming (DAP-Serdang) menyatakan kebimbangan itu selepas e-mel bocor didakwa menunjukkan Jho Low pada 2010 mendraf kenyataan berhubung pendirian Malaysia terhadap sebuah tindakan ketenteraan Arab Saudi.

“Pertama sekali, rakan baik Jho Low, Seet Li Lin, didakwa menyediakan draf surat untuk dihantar oleh Najib kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah.

“Kedua, Tarek Obaid, pengasas PetroSaudi, didakwa menghantar e-mel pada Jho Low pada 13 November 2009, meminta perdana menteri menyokong tindakan ketenteraan Arab Saudi di utara Yaman terhadap kumpulan pemberontak dikenali sebagai Houthis,” katanya.

“Draf kenyataan malah disediakan oleh En Obaid.

"Pada 19 November, Najib keluarkan kenyataan mengutuk Houthis dan menyokong hak Arab Saudi untuk mempertahankan dirinya,” kata Ong dalam kenyataan hari ini.

Ong juga memetik dakwaan Sarawak Report bahawa Jho Low ( atas ) juga terlibat menguruskan wawancara Najib dengan saluran berita Al-Arabiya.

“Dasar luar awam harus ditentukan selaras dengan kepentingan rakyat Malaysia,” katanya.

“Hakikat bahawa seorang atau kumpulan kecil individu boleh menentukan dasar luar berkaitan kepentingan Malaysia untuk manfaat peribadi, seperti didakwa oleh pendedahan Sarawak Report , amat membimbangkan.”

Dakwaan itu dibuat oleh Sarawak Report pada 28 Februari lalu.

Najib melawat Arab Saudi pada Januari 2010.

[Baca berita asal]