Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Subra: Krisis MIC boleh selesai jika ikut nasihat PM
Diterbitkan:  Mar 6, 2015 7:10 AM
Dikemaskini: Mar 6, 2015 2:26 AM

Krisis MIC boleh diselesaikan jika presiden parti Datuk Seri G. Palanivel bertindak atas nasihat pemimpin Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr S Subramaniam.

               

Dr Subramaniam berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan pertemuan dengan Palanivel dan beliau sebanyak tiga kali untuk menyelesaikan krisis yang sudah lama berlarutan.

               

"Jelas terdapat banyak kurangnya perhatian dan kurangnya keputusan, kurangnya usaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan baik. Itulah sebabnya kita menyangka terdapat krisis kepimpinan dan isu kepimpinan dalam menangani masalah ini.

               

"Perdana Menteri telah banyak kali cuba untuk memberikan nasihat dan nasihat itu sangat mudah - ikut ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) secara konsisten.

               

"Saya katakan apabila orang telah banyak kali memberi nasihat dan nasihat itu banyak kali tidak diendahkan, maka adalah mungkin beliau (Najib) berkata 'okay' anda lakukan apa yang anda semua mahu dan membiarkan tindakan itu  menanggung akibatnya", katanya dalam taklimat media mengenai krisis MIC di ibunegara semalam.

 

Dr Subramaniam berkata MIC kini telah terlepas banyak peluang memandangkan masalah parti boleh diselesaikan dengan cara yang lebih mudah jika Palanivel mematuhi arahan ROS.

               

"Ini sebenarnya cerita sedih mengenai terlepas peluang. Kami sepatutnya menyelesaikan lebih awal sebelum ini, namun kami terlepas banyak peluang mengenai banyak isu.

               

"Ia telah menjadi sangat rumit sekarang. Ia lebih mudah jika ia (pemilihan semula) dilakukan sebelum ini," katanya.

               

Krisis MIC bermula berikutan perbezaan pandangan selepas ROS mengisytiharkan pemilihan tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan CWC parti pada Perhimpunan Agung di Melaka pada November 2013 batal dan tidak sah.

               

Dr Subramaniam berkata dalam usaha untuk menyelamatkan parti itu daripada krisis selanjutnya, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim 2009 telah memulakan kerja bagi pemilihan semula parti kerana dinasihatkan oleh ROS pada 6 Februari lepas.

 

Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula untuk semua jawatan itu dalam tempoh 90 hari.

               

Dr Subramaniam yang juga menteri kesihatan berkata disebabkan terlepas banyak peluang, parti itu kini perlu mengadakan pemilihan secara menyeluruh untuk semua jawatan.

               

Konflik dalam parti itu menjadi lebih hangat apabila Palanivel, pada 14 Februari lepas, meminta ROS menarik balik semua surat kerana mendakwa ia bercanggah dengan perlembagaan parti dan akta pertubuhan serta mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang jika ROS tidak berbuat demikian.

               

Susulan itu, pada 23 Februari anggota CWC MIC K Ramalingam mengemukakan permohonan untuk semakan kehakiman terhadap tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh ROS dan Ketua Pengarahnya.

               

Pada 9 Februari Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ROS yang berada di bawah bidang kuasa kementeriannya, bersetuju bahawa MIC mengadakan pemilihan semula bagi semua jawatan yang dipilih antara April dan Julai tahun ini bagi mengelak daripada dibatalkan pendaftarannya.

 

- Bernama

Lihat Komen
ADS