Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tanpa Alvin, kes persenda Islam diteruskan
Diterbitkan:  Mar 6, 2015 5:48 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

Perbicaraan ke atas Vivian Lee, bekas teman wanita penulis blog kontroversi, Alvin Tan yang menghadapi pertuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan akan diteruskan di Mahkamah Sesyen di sini pada 13 Julai depan.

Timbalan Pendakwa Raya Yong Anne Nee memberitahu Hakim Abdul Rashid Daud bahawa prosiding itu akan diteruskan walaupun tanpa kehadiran Tan, 27, ke mahkamah.

 
Tan, gagal hadir kali pertama ke mahkamah pada 13 Jun tahun lepas ketika sebutan kes itu. Mahkamah bagaimanapun mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas gagal mengembalikan pasport yang dipohonnya bagi tujuan penggambaran dokumentari di Singapura. 
 
Dalam prosiding hari ini juga Tan tidak hadir.
 
Yong berkata, pertuduhan itu masih diteruskan terhadap Lee, 26, kerana ia masih terpakai dan pihaknya akan mengemukakan empat atau lima saksi.
 
Bagaimanapun, peguam Nur Adila Kamar Zaman yang mewakili wanita itu memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan lain atas alasan pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan itu.
 
Katanya permohonan turut dibuat atas alasan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan kes Akta Hasutan yang dihadapi pensyarah undang-undang, Azmi Shahrom.
 
Bagaimanapun, hakim menolak permohonan itu dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 13 Julai depan.
 
Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan membebaskan Alvin dan Vivian daripada satu pertuduhan iaitu menimbulkan permusuhan antara penganut pelbagai agama melalui perbuatan mereka memuat naik gambar menghina umat Islam ketika Ramadan melalui laman sosial Facebook. 
 
Mereka pada mulanya menghadapi tiga pertuduhan. Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, dua lagi pertuduhan terhadap Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, dan Lee, atau Lee May Ling, kekal.
    
Mereka didakwa mengikut Akta Hasutan kerana menyiarkan gambar dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' dalam laman facebook.
    
Satu lagi pertuduhan ialah menyiarkan gambar pornografi dalam laman facebook mereka.
 
- Bernama
Lihat Komen
ADS