Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua anak Anwar seru semua demo di Sogo
Diterbitkan:  Mar 6, 2015 5:52 PM
Dikemaskini: 2:40 PM

Kira-kira 24 jam menjelang demonstrasi pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim, anak-anak ketua pembangkang itu merayu kepada penyokongnya agar menyertai acara itu esok.

Dengan penuh bersemangat, Nurul Iman dan Nurul Nuha menyeru masyarakat "bersuara menentang penindasan."

Dalam video di laman rasmi Kita Lawan di Facebook, Nurul Iman berkata esok hari ke-26 bapanya dipenjarakan sebagai "tahanan politik nombor satu" di Malaysia.

"Solidariti ini bukan hanya untuk papa, bukan hanya untuk Anwar Ibrahim tetapi perjuangan ini adalah demi Malaysia yang lebih baik," katanya.

 

Kakaknya Nurul Nuha pula berkata Anwar dipenjara secara tidak adil kerana seruannya ke arah reformasi, demokrasi dan keadilan.

"Saya menyeru pada anda semua, rakyat yang mencintai Malaysia, untuk bersuara terhadap penindasan, kezaliman dan penyelewengan dan untuk membela mereka yang terpinggir.

"Atas semangat setiakawan, bersama kita berarak untuk Malaysia yang lebih baik," katanya.

Demonstrasi itu akan diadakan mulai 4 petang hingga tengah malam di luar kompleks membeli-belah Sogo.

Bagaimanapun pertemuan awal, mulai 3 petang, diadakan di tiga lokasi - ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Pasar Seni dan Masjid Jamek - sebelum mereka berarak ke Sogo.

Selain di ibu negara, himpunan solidariti membantah pemenjaraan ketua pembangkang itu juga akan diadakan di luar negara.

Ia akan berlangsung antaranya di Old Palace Yard, London - berdekatan dengan bangunan Parlimen United Kingdom; di depan Bangunan Parlimen Australia, di Canberra, di depan Parlimen South Australia, di Adelaide dan di Liberty Square di Taipei, Taiwan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS