Darren Phua, anak lelaki kepada Paul Phua Wei Seng, telah mengaku bersalah atas tuduhan mengendalikan pertaruhan haram Piala Dunia, lapor sebuah lamanweb berita kasino.

Lamanweb panduan dan berita kasino - Casino.org - Khamis lalu memetik peguam Darren sebagai berkata anakguamnya menukar pengakuan dan menerima tawaran rayuan kerana "rindukan" Malaysia.

Kes tersebut menjadi tajuk utama di Malaysia selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghantar surat sokongan untuk Paul Phua, dengan mengatakan dia sedang membantu kerajaan dalam projek-projek keselamatan negara.

"Ia masih belum pasti sama ada Phua (Paul Phua) akan terus mencabar tuduhan terhadapnya ekoran keputusan anak lelakinya itu.

"Pasukan peguamnya sentiasa berhujah bahawa kaedah pemantauan yang digunakan oleh penyiasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) adalah salah, melanggar hak perlembagaan bagi Pindaan Keempat," kata laporan itu lagi.

Pindaan Keempat perlembagaan AS memberi perlindungan terhadap "penyitaan dan carian yang tidak munasabah" oleh kerajaannya.

Ejen FBI dilaporkan menyamar sebagai tukang membaiki Internet untuk masuk ke dalam operasi yang didakwa dilakukan oleh Phua untuk mengumpul bukti video mengenai dakwaan rangkaian perjudian dalam talian itu.

Paul, Darren, dan enam yang lain telah dihadap ke mahkamah Amerika Syarikat pada Julai tahun lepas kerana didakwa memainkan peranan dalam menjalankan operasi dari Ceasars Palace, sebuah hotel terkemuka di Las Vegas.

[Baca berita penuh/asal]