Pasukan berstatus kelab, Felda United FC (FUFC) merampas kembali kedudukan teratas Liga Super selepas seri tanpa jaringan menentang Lions XII di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.
Walaupun gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh, skuad 'The Settlers' itu berjaya memintas Perak di kedudukan teratas liga, selepas Perak turut seri tanpa jaringan berdepan Kelantan, semalam.
Felda United yang berkongsi lapan mata dengan Perak, mendahului kedudukan liga dengan kelebihan jaringan.
Sementara itu, Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan aksi cemerlang di laman sendiri apabila bangkit untuk menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Kapten pasukan, Safiq Rahim muncul wira skuad Harimau Selatan apabila menjaringkan dua gol melalui sepakan lencong pada minit ke-39 sebelum menambah jaringan pada minit ke-41, manakala gol skuad Bujang Senang dijaringkan oleh Billy Memet pada minit ke-27.
Perlawanan tersebut turut dicemari dengan insiden kad merah apabila pemain tengah Sarawak, Ivan Fatic dibuang padang oleh pengadil Mohd Amirul Izwan Yaacob pada minit ke-90, selepas mengutip kad kuning kedua.
Di Stadium Shah Alam, Selangor meraih kemenangan pertama musim ini, apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1.
Pasukan 'The Red Giant' membuka jaringan pada minit ke-23 melalui Hazwan Bakri sebelum Afiq Azmi menambah jaringan pada minit ke-46, sebelum pasukan 'The Cops' mengurangkan defisit pada minit ke-58 melalui Dramane Traore.
Selangor meneruskan aksi bertenaganya apabila Abdul Hadi Yahya dan penyerang import dari Brazil, Guilherme de Paula menambahkan jaringan, masing-masing pada minit ke-74 dan 78.
Pasukan Pahang pula meraih kemenangan 2-0 ke atas pasukan tercorot liga, Sime Darby FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan menerusi jaringan Zesh Rehman pada minit ke-45 dan R. Gopinanth (minit ke-55).
Pasukan Terengganu pula terikat 2-2 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Gol skuad Penyu dijaringkan oleh penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-33 (penalti) dan (minit ke-48), manakala gol skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan adalah menerusi Jerry Palacios (minit ke-68) dan Christie Jayaselan (minit ke-76).
- Bernama
