Keputusan kerajaan untuk membuka akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membuktikan tidak ada apa-apa perkara yang perlu diselindungkan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata kabinet menyokong usaha kerajaan bagi memastikan akaun 1MDB disemak dan diselidik Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dipengerusikan Datuk Nur Jazlan Mohamed, lapor Bernama .

"Keputusan itu menunjukkan tidak ada perkara yang perlu diselindungkan.

“Tidak ada apa yang tak kena dengan 1MDB tetapi ia masih dibangkitkan dan menjadi isu politik yang keterlaluan," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) di Bukit Mertajam hari ini.

Ahmad berkata 1MDB mempunyai 13 pengeluar tenaga bebas (IPP) iaitu empat di Malaysia dan sembilan di luar negara yang merupakan aset yang lumayan dari segi perniagaan.

Ia juga mempunyai tanah yang luas dan strategik untuk membina sebuah bandar baru yang dikenali Bandar Malaysia dan sedang dalam proses membina Tun Razak Exchange (TRX), katanya.

"Kalau perkara positif dilihat dari sudut negatif, ia jadi negatif. Tetapi apabila bangkit dengan saman dan membuka akaun, ia akan membersih nama 1MDB pada akhirnya.

"Ia (1MDB) adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang berdaya saing dan maju tetapi diberi imej yang cukup negatif oleh pembangkang yang tidak bertanggungjawab," katanya.