Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta semua pihak tidak melemparkan tohmahan dan tuduhan melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memandangkan kes itu masih dalam siasatan.

Katanya, sebelum sesuatu perkara itu diberikan keputusan, semua pihak harus faham dengan situasi ini dan memberikan peluang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan, lapor Bernama .

"Perkara itu masih dalam siasatan dan kabinet telah bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri mengenai peranan Ketua Audit Negara dalam hal ini," beliau dipetik sebagai berkata.

Tengku Adnan, yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, tindakan pembangkang terhadap 1MDB sedikit sebanyak menyebabkan rakyat termakan hasutan mereka.

"Saya tidak faham mengapa pelbagai tohmahan dilemparkan kepada 1MDB... namun ia hanyalah persepsi dan biarlah penyiasatan dilakukan," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas merasmikan Festival Sukan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan 2015 hari ini.