MB: Datang sukarela ditangkap pula
Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata tindakan polis menahan Nik Nazmi Nik Ahmad tidak wajar memandangkan exco kerajaan Selangor itu hadir secara sukarela untuk disoal siasat.
“Pihak berkuasa perlu membebaskan Nik Nazmi dengan segera dan tanpa syarat.
“Polis perlu menghentikan siasatan dijalankan ke atasnya dan yang lain kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan membebaskan Anwar semalam,” ujarnya yang juga timbalan presiden PKR.
Nik Nazmi, juga ketua Pemuda PKR (AMK), ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara hari ini.
Selain beliau, sorang pemimpin akar umbi AMK Saifullah Zulkifli turut ditahan polis di Kuala Lumpur semalam.
Dalam kenyataannya hari ini, Azmin juga melihat tangkapan itu sebagai “bermotif politik” kerana ia bertentangan dengan perlembagaan.
“Perhimpunan semalam benar-benar teratur, aman dan dalam batasan undang-undang.
“Kami lihat tidak mempunyai asas undang-undang bagi penangkapan Nik Nazmi dan juga Saifullah Zulkifli, selain bermotif politik,” kata Azmin.

