Suhaizan: 'Terlalu awal' tentukan siapa cabar Hadi
Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata "masih terlalu awal" untuk menentukan presiden parti selepas PAS Kota Bharu mencalonkan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan mencabar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut perlembagaan, seseorang anggota PAS memerlukan dua pencalonan untuk melayakkan mereka bertanding jawatan dalam jawatankuasa pusat PAS.
Kawasan PAS di seluruh negara kini sedang mengadakan mesyuarat agung sehingga akhir bulan depan. Tarikh tutup untuk pencalonan peringkat pusat adalah pada 30 April ini.
"Pencalonan Kota Bharu masih terlalu awal untuk menentukan siapa Presiden PAS. Perwakilan tetap memandang Tok Guru Haji Hadi sebagai simbol menyatukan pimpinan dan ahli PAS.
"Beliau adalah tempat rujukan dan bapa kepada semua," kata Suhaizan di laman Facebooknya.
Malam tadi, Kota Bharu menjadi kawasan pertama PAS yang mencalonkan pencabar Abdul Hadi bagi jawatan presiden. Ia diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa kawasan.
Menurut ketua PAS kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, pemilihan Tuan Ibrahim sebagai pencabar presiden parti kerana Abdul Hadi mengalami masalah kesihatan.
Tuan Ibrahim dipilih memandangkan naib presiden PAS itu merupakan individu yang akan membuatkan Abdul Hadi selesa kerana beliau merupakan anak didik Abdul Hadi dan dekat dengannya
Pemilihan PAS dijadual berlangsung semasa Muktamar PAS ke-61 pada 4 hingga 6 Jun tahun ini. Sebanyak 27 jawatan peringkat pusat dipertandingkan.

