Satu lagi laporan qazaf (tuduhan zina tanpa saksi) akan dikemukakan kepada Tan Sri Shafee Abdullah  berhubung kenyataan peguam itu mengenai kes Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dijadual membuat laporan itu petang esok di Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam.

Ia akan menjadi laporan ketiga berkaitan isu itu susulan ucapan Shafee yang memperincikan aksi mesra sebelum perhubungan seks antara Anwar dan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sebelum ini laporan sama dibuat pada JAIS oleh pendakwah kontroversi Wan Ji Wan Wan Hussin berhubung perkara itu.

Laporan sama turut difailkan terhadap Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

Presidenn ABIM Amidi Abdul Manan ketika dihubungi Malaysiakini berkata laporan itu akan dibuat kerana pihaknya tidak mahu masyarakat terbiasa dengan budaya mengaibkan seperti didakwa dilakukan Shafee.

“Apa yang kita risaukan perkara ini akan dibiasakan oleh masyarakat, memalukan orang, mengaibkan orang.

“(Ia) satu isyarat orang muda Islam yang mewakili ABIM menolak politik lucah, fitnah yang dijalankan oleh sesetengah pihak,” katanya.

Sebelum ini Shafee menyatakan butiran sensasi mengenai kes Anwar dalam forum penerangan kes Liwat II di Kelana Jaya bulan lalu.

Sebahagian ulama Islam menganggap bukan sahaja zina, tuduhan liwat juga termasuk dalam kesalahan qazaf.