Jabatan Audit Negara telah memulakan proses pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebaik menerima arahan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak minggu lepas.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata jabatan itu akan memberi keutamaan dalam melaksanakan pengauditan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu secara bebas dan profesional.

"Tentunya jabatan akan beri keutamaan dalam hal ini dan kami harap kami boleh melakukannya dalam suasana aman dan sejahtera," katanya dalam sidang media mengenai pengauditan 1MDB di Putrajaya hari ini.

Ambrin berkata beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy baru-baru ini yang telah menyatakan komitmen untuk bekerjasama penuh dengan jabatan itu dalam proses pengauditan.

Beliau berkata jabatan audit telah memulakan proses mengumpul seberapa banyak maklumat berkaitan dan akan meneliti semua dokumen serta menemu bual semua pihak berkaitan.

Pengauditan itu juga akan memanggil semua, termasuk pihak yang menuduh, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB dan perdana menteri sendiri jika perlu bagi membantu proses pengauditan, kata Ambrin.

"Kami perlu lakukan apa yang perlu dilakukan, dan jika perlu bercakap dengan pihak tertentu, kami akan buat," katanya sambil menggesa semua pihak terlibat memberikan kerjasama.

Beliau berkata proses pengauditan tidak hanya terhad kepada akaun 1MDB, tetapi juga meliputi aset, liabiliti, tadbir urus korporat dan ekuiti.

"Bagi saya ini mandat yang luas. Apa-apa perkara yang berkaitan dengannya kami perlu kaji dan teliti. Kami mahu tahu bagaimana syarikat itu diuruskan," katanya.

Najib pada 4 Mac lalu mengarahkan ketua audit negara supaya mengesahkan setiap 1MDB akaun.

Ambrin berkata proses pengauditan syarikat itu akan dilakukan tanpa jangka masa tertentu ditetapkan.

"Saya setuju masa adalah segalanya dan kami memberikan keutamaan terhadapnya tetapi kita perlu seimbangkan antara kecepatan dan ketepatan. Kami menitikberatkan kualiti kerja kami juga," katanya.

Ambrin berkata tiada spesifik tarikh ditetapkan untuk laporan audit 1MDB dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Namun segala usaha akan diambil bagi membolehkan laporan ini dikemukakan secepat mungkin," katanya.

Ambrin berkata beliau sendiri akan memantau pengauditan 1MDB ini dan memastikan semua prosedur operasi standard dipatuhi.

"Saya telah berjanji, jadi mana boleh saya melarikan diri (daripada tanggungjawab)," katanya.

Beliau menekankan bahawa proses pengauditan terhadap syarikat-syarikat kerajaan termasuk 1MDB bukanlah suatu perkara baharu dan diperuntukkan di bawah Akta Audit.

"Kami sudah biasa dengan pengauditan syarikat. Kami mempunyai pengalaman dalam mengaudit syarikat-syarikat kerajaan. Biarlah kami jalankan tangungjawab kami secara profesional dan dalam senyap," katanya.

Ambrin berkata jika perlu, jabatan itu akan membawa masuk bantuan luar untuk proses pengauditan.

Ditanya sama ada Arul Kanda menyerahkan akaun 1MDB kepada beliau semasa pertemuan mereka baru-baru ini, atau mereka hanya berjumpa untuk minum kopi, Ambrin menjawab: "Bukan kopi, saya minum Milo" membuatkan wakil-wakil media ketawa.

"Beliau masih belum serahkan (tetapi) pasukan saya telah mula bekerja," katanya.

- Bernama