Baki dana AS$1.103 bilion yang dilaburkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Kepulauan Cayman telah dibawa balik.

Bagaimanapun dana ini kini disimpan di sebuah bank di Singapura, kata kerajaan dalam jawapan bertulisnya kepada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara).

Kementerian kewangan berkata jumlah itu, yang bersamaan RM4 bilion, ketika ini disimpan di BSI Bank Limited Singapore (BSI Singapore).

"Keputusan untuk menggunakan bank di Singapura bertujuan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang memandangkan peraturan yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan kelulusan BNM diperoleh bagi setiap transaksi wang melebihi RM50 juta," jawapan bertulis menteri kewangan itu dipetik.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pernah menimbulkan persoalan berhubung urusniaga 1MDB di Kepulauan Caymans kepada Bank Negara.

Menurutnya, sebarang pemindahan wang ke Kepulauan Caymans melebihi RM1 juta akan disiasat BNM.

Namun katanya, sehingga kini tiada siasatan dibuat Bank Negara walaupun ke atas pemindahan wang sebanyak RM2.5 bilion dari 1MDB kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat milik taikun Taek Jho Low.