Berbeza dengan kebiasaannya, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini enggan mengulas kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selepas acara di sebuah universiti swasta.

"1MDB tidak berkaitan dengan universiti ini, kami tidak meminjam wang daripada mereka.

"Ia (soalan) itu tidak relevan, maaf," kata bekas perdana menteri itu dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan di Perdana University, Serdang.

Ditanya lagi sama ada beliau akan terus mengkritik syarikat pelaburan nasional itu, yang kini sedang diaudit Jabatan Audit Negara, Dr Mahathir berkata beliau akan menjawab di kesempatan lain.

"Saya akan cari masa lain untuk menjawab soalan itu. Sekarang, kita perlu tumpukan pada pendidikan kesihatan," katanya.

Pada permulaan sidang media, Pengerusi Perdana University Mohan Swami JP meminta wartawan supaya bertanya soalan yang berkaitan universiti sehingga menyebabkan Mahathir ketawa dan berkata: "Ya, OK".

Semasa wartawan sekali lagi cuba untuk bertanya soalan yang tidak berkaitan institusi pengajian swasta itu selepas sidang media, Mahathir kemudian mengulangi bahawa beliau akan menjawab soalan berkaitan 1MDB di lain masa.

Walaupun Mahathir membalas soalan wartawan dengan sopan sambil tersenyum dan hanya menggelengkan kepada apabila bercakap, namun pengawal peribadi beliau tidak pula begitu mesra dengan seorang daripada menolak wartawan di situ.

Tindakannya itu membuat seorang orang wartawan menegur pengawal peribadi itu kerana menolaknya.

[Baca berita penuh/asal]