Abim tangguh laporan qazaf terhadap Shafee
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menangguhkan cadangannya untuk membuat laporan qazaf terhadap peguam Tan Sri Shafee Abdullah berhubung kenyataannya mengenai kes Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abim pada mulanya mahu membuat laporan itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) petang ini, tetapi menangguhkannya kerana presiden ABIM, Amidi Abdul Manan tidak dapat hadir.
Setiausaha Agung Abim, Muhammad Faisal Abd Aziz dalam SMS kepada Malaysiakini hari ini berkata Amidi Abdul Manan mempunyai urusan penting yang tidak dapat dielakkan hari ini
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh baru pihaknya akan membuat laporan qazaf (tuduhan zina tanpa saksi) tersebut.
Semalam, Abim dilaporkan berkata pihaknya mahu membuat laporan itu petang ini.
Sebelum ini, dua laporan qazaf terhadap Shafee telah dibuat kapada JAIS dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.
Kedua-dua laporan qazaf dibuat oleh pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin bulan lalu.

