Ekonomi Malaysia diunjur kekal di landasan pertumbuhan stabil antara 4.5 dan 5.5 peratus tahun ini dipacu oleh permintaan domestik berikutan sektor luar berdaya tahan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata pelaburan swasta diunjur mengembang sembilan peratus, diteraju terutamanya oleh pelaburan dalam sektor pembuatan.

Zeti berkata penstrukturan semula ekonomi yang dilaksana oleh kerajaan memberi daya tahan kepada negara untuk mengharungi persekitaran luaran yang mencabar dan membuka penyertaan swasta lebih tinggi pada 70 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata peralihan dalam aktiviti ekonomi di bawah penstrukturan semula ekonomi mewujudkan struktur ekonomi yang lebih pelbagai.

Ia mewujudkan struktur eksport yang pelbagai bagi seluruh produk dan pasaran serta sistem kewangan berdaya tahan dan dibangunkan dengan baik yang menyokong pertumbuhan ekonomi, katanya.

Katanya pengukuhan fiskal negara juga kekal di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan 3.2 peratus daripada KDNK tahun ini di sebalik harga minyak yang rendah.

Beliau berkata langkah-langkah pembaharuan fiskal terdahulu memberi keputusan positif seperti mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak manakala pembaharuan perbelanjaan yang disokong oleh pemansuhan subsidi bahan api akan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

Di samping itu, beliau berkata pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) akan memperluas asas pendapatan kerajaan.

Zeti berkata imbangan perdagangan negara akan kekal dalam lebihan yang besar berikutan pertumbuhan eksport lebih sederhana.

Katanya eksport perkilangan diunjur tumbuh 8.4 peratus tahun ini, diteraju oleh pertumbuhan eksport elektrik dan elektronik sebanyak 14.1 peratus, memandangkan industri itu menerima manfaat daripada pemulihan di negara-negara maju utama.

Beliau berkata eksport perkilangan merupakan bahagian terbesar daripada eksport keseluruhan, namun impak perkembangan luaran dikurangkan oleh struktur perdagangan yang pelbagai dari segi produk dan pasaran.

Katanya sekalipun lebihan akaun semasa diunjur menguncup kepada antara dua dan tiga peratus daripada Pendapatan Kasar Negara (PKN) tahun ini daripada 4.8 peratus tahun lepas, penyederhanaan itu konsisten dengan pengimbangan semula global dan transformasi struktur dalam ekonomi domestik.

Beliau berkata ciri utama dalam transformasi struktur ialah pertumbuhan kukuh dalam aktiviti pelaburan yang merapatkan jurang antara simpanan dan pelaburan.

"Pelaburan dalam bidang pertumbuhan baharu, industri dan infrastruktur nilai tambah tinggi akan terus meningkatkan produktif dan kapasiti eksport ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, Zeti berkata kedudukan kewangan Bank Negara kekal stabil pada 2014 dengan aset keseluruhan berjumlah RM427.6 bilion dan rizab antarabangsa RM405.4 bilion (US$115.9 bilion).

Katanya bank pusat mencatatkan keuntungan bersih RM6.38 bilion tahun lepas dengan RM3 bilion dibayar kepada kerajaan sebagai dividen.

Sementara itu, katanya, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji ujian tekanan kesolvenan untuk bank dan syarikat insurans setiap suku dan akan mengambil tindakan lebih awal untuk mengurangkan sebarang potensi kelemahan.

Beliau berkata, ujian tekanan berdasarkan kesolvenan pelbagai tahun bermodelkan beberapa siri acara berisiko berdasarkan tiga andaian pertumbuhan keluaran dalam kasar negara (KDNK) serta keadaan makroekonomi dan kewangan dalam tempoh empat tahun mulai 2015 hingga 2018.

"Jika terdapat kebimbangan sebarang kelemahan dalam sistem kewangan kita atau yang akan menyebabkan gangguan ekonomi, kami akan mengambil tindakan sebelum ia berlaku," katanya dalam taklimat media mengenai Laporan Tahunan 2014  dan Kestabilan Kewangan dan Laporan Sistem Pembayaran 2014 bank pusat itu semalam.

Menurut Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran, ujian tekanan itu antara lain mengambil kira kemelesetan mendadak yang serentak di AmerikaSyarikat dan China, pembetulan di pasaran hartanah domestik dan turun naik yang lebih kerap dalam pasaran kewangan domestik yang meningkatkan penghindaran risiko, menjejaskan sentimen pelabur serta mengurangkan kekayaan isi rumah.

Senario ini mencerminkan pengalaman lepas Malaysia dengan beberapakemelesetan diiringi pemulihan kukuh dan cepat.

Senario buruk kedua mengambil kira pembetulan ekuiti kecil di Amerika Syarikat dengan kelemahan yang berpanjangan di China, turun naik lebih kerap dalam pasaran kewangan yang meningkatkan penghindaran risiko, menjejaskan sentimen pelabur dan mengurangkan kekayaan isi rumah dan harga komoditi yang lebih rendah menjejaskan pendapatan fiskal Malaysia.

- Bernama