1MDB bukan risiko sistemik, kata Bank Negara
Diterbitkan: Mar 12, 2015 8:13 AM | Dikemas kini: Mar 12, 2015 12:17 PM
KINIBIZ
Ringgit ketara di bawah nilai sebenar, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dalam sidang akhbar sempena pengumuman Laporan Tahunan 2014 bank pusat itu semalam.
Ditanya mengenai nilai asas ringgit dan ramalan bagi ringgit, beliau berkata: "Kami tidak meramalkan nilai ringgit. Apa yang kita boleh meramal ialah turun naik yang berterusan (bagi ringgit)."
Zeti (kanan) berkata kejatuhan nilai ringgit memang telah dijangka kerana aliran keluar modal berikutan pengumuman Rizab Persekutuan AS menghentikan pelonggaran kuantitatif yang merujuk kepada pemberhentian pembelian bon oleh FED untuk menyuntik kecairan mudah tunai ke dalam sistem.
Sebahagian besar sidang akhbar itu tertumpu kepada sesi soal jawab mengenai ringgit dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang mana pinjaman besarnya dan amalannya yang dipersoalkan pada umumnya dianggap menambahkan lagi tekanan kepada ringgit, ditambah pula dengan kejatuhan harga minyak.
Tanpa menyebut nama 1MDB, gabenor bank pusat itu berkata ujian tekanan yang dijalankan oleh BNM menunjukkan tiada risiko sistemik kepada sistem, daripada pinjaman daripada mana-mana entiti tunggal.
"(Jika berlaku keingkaran), keuntungan daripada sesetengah bank mungkin terjejas tetapi kebanyakannya akan kekal menguntungkan. Tidak akan ada keruntuhan sistemik, modal adalah mencukupi."
Beliau menafikan bahawa terbitan bil Perbendaharaan oleh BNM sekitar RM2 bilion baru-baru ini ada kaitan dengan 1MDB.
"(Terbitan) Ini dilakukan secara berkala dan mengikut satu set kalendar. Bil Perbendaharaan tidak diterbitkan untuk pembayaran balik hutang dalam negeri dan jika ia adalah untuk pembayaran balik hutang luar negeri, kerajaan biasanya akan memberitahu kami terlebih dahulu."
Untuk berita penuh baca
KiniBiz
.

