PAS Selangor akan bersama-sama mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Abd Hadi Awang untuk mengekalkan jawatannya sebagai presiden PAS.
 
"PAS memerlukan kepimpinan Tuan Guru dan kita lihat belum ada yang layak mengambil jawatan presiden," kata Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman.
 
Sehubungan itu, katanya, PAS Selangor mengalu-alukan kenyataan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din supaya Hadi dikekalkan sebagai presiden PAS.
 
"Kita gembira dengan kenyataan tersebut dan PAS Selangor akan bersama-sama mempertahankan kepimpinan Tuan Guru Haji Abd Hadi," kata Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini.
 
PAS Selangor, tegasnya, mendukung kepimpinan ulamak termasuk mana-mana pemimpin profesional atau bukan profesional yang mendukung kepimpinan ulamak.
 
"Malah Datuk Pesuruhjaya juga telah beberapa kali menyatakan pendirian mendukung kepimpinan ulamak... maka itulah pendirian kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Kesemua 22 kawasan PAS di Selangor akan mula mengadakan mesyuarat agung masing-masing mulai 15 Mac ini dan yang terakhir pada 26 April depan.
 
Mesyuarat agung pada kali ini melibatkan pemilihan di peringkat cawangan, kawasan dan pusat.