Lelaki tipu kekasih, paksa gugur kandungan
Seorang lelaki bakal menghadapi hukuman penjara tujuh tahun selepas memasukkan pil untuk menggugurkan kandungan kekasihnya tanpa kebenaran.
Lelaki Norway itu, 26, memasukkan pil secara diam-diam dalam minuman 'smoothie' teman wanitanya, 20, yang sedang hamil tiga bulan sehingga kandungannya gugur pada hari yang sama.
Kejadian itu buat kali kedua. Pertama kali lelaki itu cuba menipu kekasihnya dengan menyatakan pil itu ubat penahan sakit, lapor portal Australia hari ini yang memetik berita The Local .
Man tricked ex with abortion pill smoothie http://t.co/zJSDgl4Khf pic.twitter.com/NAjkcR1qlQ
— news.com.au (@newscomauHQ) March 12, 2015
Lelaki itu, 26, mengaku bersalah di mahkamah Isnin lalu atas tuduhan mendatangkan mudarat teruk dan juga menggugurkan kandungan tanpa keizinan ibu. Pihak pendakwaan menyarankan beliau dihukum penjara tujuh tahun.
"Dia cuba beberapa kali memujuk saya menggugurkan kandungan tetapi saya tidak bersetuju," wanita itu berkata di mahkamah seperti dilaporkan stesen penyiaran awam NRK .
Selepas meminum 'smoothie' itu, wanita tersebut mengalami sakit teruk di bahagian perut dan kemudian mengalami keguguran.
Ujian yang dijalankan doktor menunjukkan keguguran terjadi akibat mengambil ubat itu dalam sukatan yang tinggi, lapor News.com.au lagi.
Lelaki itu dilaporkan mengaku telah insaf atas tindakannya itu tetapi berkata dia sangka "itulah sahaja jalan keluar".
Katanya di mahkamah, dia juga risau bayi yang bakal dilahirkan itu cacat jika ubat yang diberikan buat pertama kali gagal menggugurkan kandungan tersebut.
Mahkamah akan membuat keputusan pada 17 Mac ini.

