Kerajaan akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam proses pengambilalihan pegangan saham sepenuhnya Bernama TV Synergy Sdn Bhd kerana ia melibatkan kerajaan.
 
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ini bagi memastikan keseluruhan perkara diselesaikan mengikut aturan undang-undang.
 
"Proses perundingan di peringkat akhir, bagaimanapun kami juga akan serahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk melihat perkara ini kerana ia melibatkan kerajaan.
 
"Kami tidak mahu membuat sesuatu yang tidak mengikut undang-undang," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.
 
Beliau berkata proses perundingan dengan pemegang saham syarikat itu melibatkan beberapa perkara termasuk membolehkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam syarikat itu
yang melibatkan penstrukturan saham dan operasi Bernama TV.
 
Ahmad Shabery berkata terdapat beberapa tuntutan yang dikemukakan pihak pemegang saham, dan kerajaan perlu meneliti tuntutan itu supaya ia tidak merugikan kerajaan.
 
Terdahulu dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat Ahmad Shabery berkata Bernama kini sedang membuat perundingan untuk memiliki sepenuhnya Bernama TV yang mana dengan berbuat demikian, ia membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada Bernama yang memiliki 33 peratus saham di stesen televisyen itu.
 
Bernama TV dimiliki Bernama TV Synergy Sdn Bhd (BRTV) yang ditubuhkan pada 2008 bagi menguruskan siaran 24 jam di saluran Astro 502.
 
Dalam pada itu Ahmad Shabery berkata format penyiaran berita Bernama TV perlu dikaji semula kerana penggunaan empat bahasa dalam beritanya tidak sesuai dalam konteks penyiaran masa kini.
 
"Pada pandangan saya (format empat bahasa) tidak begitu sesuai sekarang kerana dalam mana-mana saluran berita orang mahukan kesinambungan apabila menonton. Ini bukan sentimen nak buang mana-mana bahasa," katanya.
 
- Bernama