Bapa kepada remaja yang didakwa cuba membunuh diri selepas terperangkap dalam isu pertukaran agama membuat laporan polis berkaitan perkara itu.

Laporan S Ganesan itu dibuat terhadap 11 individu.

Katanya, pihak itu harus bertanggungjawab terhadap keadaan anaknya yang meminum racun rumpai paraquat bercampur kopi pada Rabu lepas.

“Anak saya trauma. Jika apa-apa berlaku padanya, saya letak tanggungjawab ini kepada guru-guru dan jabatan agama (Negeri Sembilan),” katanya.

Ganesan turut menamakan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lapan pegawai jabatan agama.

Ia dibuat di balai polis Seremban II.

Malaysiakini pada 12 Mac melaporkan remaja 14 tahun itu dimasukkan ke  hospital besar Seremban.

Bapanya mendakwa anaknya itu memberitahu bahawa dia takutkan pihak berkuasa agama mengambilnya dan memberikan pengalaman pahit.

Pelajar itu dalam laporan polis bertarikh 17 Februari mendakwa dipaksa dua gurunya untuk membuat laporan bahawa bapanya cuba menukar agamanya kepada Hindu.

Ibu pelajar itu seorang warga Indonesia yang beragama Islam.

Ganesan pernah memohon pada Mahkamah Syariah untuk menukar agama anaknya, namun diberitahu untuk menunggu sehingga umur 18 tahun.

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Port Dickson pada 25 Februari dilapor sedang menyiasat dakwaan pelajar tingkatan dua itu, yang direkodkan sebagai Islam dalam kad pengenalan, dipaksa membuat laporan polis terhadap bapanya yang beragama Hindu.

Pegawai berkaitan berkata terdapat percanggahan dakwaan oleh pihak guru dan bapanya.

Pengetua seolah itu enggan mengulas perkara itu atas alasan seorang pegawai kerajaan.

[Baca berita asal]