Seperti dijangka, PAS mengetengahkan sosok bekas mursyidul amnya allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Perkara itu terus diketengahkan dalam siri ceramahnya di kubu kuat PAS itu.

“Penduduk DUN Chempaka ini penduduk yang paling bertuah, kerana tuan-puan telah mengangkat seorang yang begitu dimuliakan umat Islam dan bukan Islam iaitu Tok Guru Nik Aziz,” kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di hadapan kira-kira 250 penyokong PAS.

Beliau juga menyifatkan peribadi calon PAS yang bertanding untuk mempertahankan kerusi itu Ahmad Fathan Mahmood sebagai mirip dengan Nik Aziz daripada segi akhlaknya.

Mohamad berkata walaupun negeri Kelantan tidak semaju negeri lain tetapi ia memiliki kepimpinan ulama yang tidak ada tempat lain.

Hadir sama dalam ceramah di sebuah sekolah di Kota Bharu itu ialah calon PAS Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, Fathan ( kanan ) yang mempertaruhkan slogan “meneruskan kepimpinan ulama” turut berharap agar dapat meneruskan kepimpinan seperti Nik Aziz di Chempaka.

Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian Nik Aziz akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.

Pilihan raya pada pada 22 Mac inimenyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.

Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, Nik Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan mengalahkan calon BN Wan Razman Wan Abdul Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Tiada komen tentang pemilihan PAS

Sementara itu, Mohamad ketika ditemui pemberita selepas itu diminta mengulas berhubung tindakan sebuah kawasan di Kelantan mencalonkan pencabar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pemilihan parti Jun ini.

Mohamad juga ditanya sama ada sudah dipanggil menjelaskan berhubung isu dakwaan rakaman suara miripnya yang berkempen untuk menjatuhkan Hadi.

Beliau bagaimanapun menjawab soalan itu dengan jawapan ringkas “tiada komen”.