Ketua Pemuda DAP ditangkap polis
Polis terus bertindak keras terhadap pihak terlibat dalam perhimpunan menuntut perdana menteri berundur di ibu negara minggu lepas.
Selepas beberapa pemimpin politik dan aktivis ditahan, kini giliran Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong pula.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainol Samah berkata Teo ditahan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
“Sama ada reman atau tidak bergantung pada siasatan,” katanya.
Kira-kira 10,000 orang hadir dalam perhimpunan pada Sabtu lepas.
Selain mendesak pengunduran Najib, peserta turut menyatakan setiakawan mereka terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Bernama sebelum itu melaporkan beliau tampil ke Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan Kita Lawan pada 7 Mac.
Beliau yang tiba di balai polis berkenaan kira-kira pukul 10.40 pagi, diiringi dua peguamnya, Nicole Tan Lee Koon dan Wong Kah Woh bersama kira-kira 20 penyokong.
Sebelum ini, empat orang disoal siasat berhubung kes berkenaan iaitu Ketua pemuda PKR (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua AMK Kelana Jaya Saifullah Zulkifli, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Bendahari Pemuda PAS Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.
Mereka turut ditahan reman dengan Nik Nazmi ditahan Sabtu lepas selepas perhimpunan Kita Lawan dan direman sehingga Selasa 10 Mac, Saifullah ditahan Sabtu lepas ditahan reman sehari, Rafizi ditahan Selasa lepas (10 Mac) dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama, manakala Mohd Fakhrulrazi ditahan pada 11 Mac, ditahan direman sehari.

