Beberapa pihak di Sarawak menyatakan kebimbangan terhadap kehadiran lebih 300,000 pendatang haram Indonesia di ladang kelapa sawit negeri itu seperti didedahkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Saya bimbang sekali gus bingung dengan kenyataan timbalan menteri, susulan pengakuan bahawa kedua-dua pihak, Sarawak dan kerajaan pusat, tidak mempunyai kemahiran dan sumber untuk menangani masalah ini,” kata Naib Presiden PKR Sarawak Boniface Willy Tumek.

Boniface mendakwa semacam terdapat perjanjian antara pihak berkuasa Sarawak dan Indonesia berhubung perkara itu memandangkan angkanya kini sudah mencecah 300,000 orang.

Angka itu, katanya lebih tinggi daripada sesetengah kumpulan etnik di negeri Bumi Kenyalang itu seperti masyarakat Bidayuh yang kira-kira 200,000 orang sahaja.

Masyarakat Kayan, Kenyah, Lun Bawang dan Kelabit malah lebih sedikit bilangannya, kata  Boniface kepada Malaysiakini semalam.

Kerajaan  tidak dapat menghantar pulang kira-kira 300,000 orang pendatang asing tanpa izin (PATI)  ke negara asal mereka berikutan masalah  imigresen di negara terbabit untuk menerima mereka kembali, kata Wan Junaidi sebelum ini.

[Baca berita asal]