Tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang melepaskan pengurus kedai buku Borders, Nik Raina Abdul Aziz, telah melanggar Indeks Syariah Malaysia sendiri, kata Sisters in Islam (SIS).

 

Pengarah Eksekutif SIS, Ratna Osman (bawah) berkata, daripada berulang kali mendakwa Nik Raina, yang menjadi mangsa keadaan, Indeks Syariah itu menyarankan JAW perlu membantu beliau.

 

Indeks Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyebut tentang keadilan mengikut maqasid syariah (matlamat ajaran Islam).

 

Mengapa JAWI, tegas Ratna, tidak mengamalkan unsur utama dalam maqasid syariah, iaitu, apakah yang terbaik bagi kepentingan awam atau bagi masyarakat Islam dengan JAWI memfailkan rayuan terhadap Nik Raina.

 

JAWI, tegasnya lagi, perlu menjadi badan kerajaan yang pertama untuk benar-benar melaksanakan semangat keadilan dalam konteks ini dan sepatutnya ditunjukkan dalam perilaku teladan dalam menangani kes Nik Raina itu.

Tetapi malangnya, ia seolah-olah gagal dalam hal ini, kata Ratna kepada Malaysiakini.

 

Nik Raina dituduh mengedarkan buku tulisan Irshad Manji bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta kerana didakwa bercanggah dengan ajaran Islam, tetapi buku itu belum diharamkan apabila JAWI menyerbu kedai itui di Bangsar, Kuala Lumpur.

 

Mahkamah Syariah pada 26 Februari melepaskan Nik Raina tanpa dibebaskan terhadap tuduhan itu selepas Mahkamah Rayuan sivil mendapati serbuan itu menyalahi undang-undang.

 

Ratna berkata pendakwa Syariah pada hari itu telah menyerahkan kepada Mahkamah Syariah untuk memutuskan kes berkenaan ekoran keputusan mahkamah sivil tersebut, dan dengan itu, katanya, melakukan penghinaan mahkamah dengan merayu terhadap keputusan itu.

[Baca berita penuh/asal]