Jawatankuasa pusat DAP, PKR dan PAS mesti mengambil tindakan tegas terhadap PAS Kelantan ia memutuskan untuk mengabaikan keputusan majlis kepimpinan Pakatan dan membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan (1993) 2015 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu ini. 

Setiausaha jawatankuasa penganjur nasional DAP, Anthony Loke berkata PAS Kelantan telah memeranjatkan semua wakil DAP dan PKR dengan membentangkan rang undang-undang baru dan bukannya beberapa pindaan kecil seperti yang dinyatakan pada asalnya.

"Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Wan Azizah, wakil kerajaan negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan telah membentangkan draf “Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015” yang mempunyai 71 fasal dan 4 Jadual.

"Draf rang undang-undang tersebut memeranjatkan semua wakil DAP dan PKR yang hadir kerana ia bukan merupakan satu draf pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 tetapi merupakan satu draf Kanun Jenayah Syariah 2015 yang baru yang merangkumi semua aspek dalam Kanun tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebarang rang undang-undang mesti mendapat pandangan dan konsensus Majlis Pimpinan Pakatan.

 

Loke yang juga ahli Parlimen Seremban berkata dalam mesyuarat majlis itu pada 8 Februari dengan lepas yang dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar Nik Abdullah melaporkan kbahawa kerajaan Kelantan akan membentangkan beberapa pindaan kecil kepada Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993. 

Menurut Loke, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dalam mesyuarat itu bersetuju draf pindaan tersebut dirujuk semula kepada majlis pimpinan Pakatan dalam masa sebulan.

'K'tan sengaja kelirukan Pakatan'

"Wakil DAP dan PKR membantah keras dalam mesyuarat tersebut dan menghujahkan bahawa ini bukan merupakan satu pindaan kepada Enakmen sedia ada tetapi merupakan satu rang undang-undang yang baru.

"Ia juga menunjukkan bahawa Datuk Nik Amar tidak bertindak jujur dan sengaja mengelirukan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam mesyuarat 8 Februari," kata Loke lagi.

PAS Kelantan, katanya, perlu menjelaskan secara terbuka termasuk kepada ahli dan penyokong PAS mengapa perlunya satu enakmen yang telah diluluskan pada tahun 1993 dibentangkan sekali lagi pada tahun 2015.

"Apakah sebenarnya Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 tidak wujud secara sah selama ini?" soal Loke.

Katanya, pendirian DAP dalam isu hudud selama ini amat konsisten, jelas dan tegas iaitu DAP tidak akan menyokong pelaksanaan hukum hudud di mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi, mengapakah PAS Kelantan begitu tergesa-gesa untuk membentangkan rang undang-undang ini dan jatuh ke dalam perangkap Umno yang mahu menggunakan isu ini untuk memecahkan Pakatan?" soalnya lagi.

Sekiranya PAS Kelantan membentangkan satu Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah yang baru pada 18 Mac 2015 di DUN Kelantan, maka ia bermaksud kepercayaan yang diberikan kepada PAS selama ini dalam kerangka Pakatan Rakyat telah dicabuli sendiri oleh PAS Kelantan, katanya.

Berikutan itu, katanya, kepimpinan Pakatan perlu mengambil keputusan tegas jika PAS Kelantan membelakangkan pandangan dan pendirian DAP dan PKR dalam mesyuarat majlis pimpinan Pakatan pada 12 Mac 2015 dan tetap membentangkan RUU Kanun Jenayah Syariah 2015 pada 18 Mac ini di DUN Kelantan.

[Baca berita penuh/asal]