Satu tinjauan Merdeka Centre menunjukkan, 81 peratus daripada responden yang terdiri daripada golongan Melayu Islam kurang bersetuju dengan usaha PAS memperkenal pindaan ke atas enakmen hudud.

Responden berkenaan sebaliknya mahu kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS itu mengutamakan usaha mengatasi isu banjir, yang menjejaskan ratusan ribu warganya tahun lalu.

“Pada pendapat kami, cadangan kerajaan negeri untuk melihat semula enakmen hududnya tidak akan memperbaiki kewibawaan parti kerajaan di kalangan pengundi Islam dan warga Kelantan.

“Usaha ini mengimbau semula keputusan buruk dalam pilihan raya umum 2004,” kata Merdeka Centre dalam kenyataannya.

Badan itu merujuk kepada manifesto “Negara Islam” yang menyebabkan PAS gagal membentuk kerajaan di Terengganu dan juga hampir kehilangan Kelantan dalam pilihan raya itu.

Tinjauan itu menyukat sentimen yang ditunjukkan pengundi memandangkan Pakatan Rakyat memberi bantahan keras ke atas usaha PAS Kelantan untuk mengemukakan pindaan ke atas enakmen hudud pada hari Rabu ini bagi membolehkannya dilaksanakan.

[Baca berita asal]