Kerajaan berpendapat tiada keperluan untuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji kelemahan dan kekurangan dalam pengurusan banjir yang melanda negara pada Disember lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagaimanapun kerajaan akan mengkaji Peraturan Tetap Operasi (PGO), pengendalian bencana banjir dan Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan agensi kerajaan yang terlibat dalam bencana alam.

"Ia harus dikaji dan disemak supaya agensi pelaksana dapat melaksanakan dan mengambil tindakan dalam situasi banjir dan air yang naik dengan pantas," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengenai cadangan penubuhan RCI dan keperluan kajian SOP dalam kejadian banjir di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata berdasar pengajaran daripada bencana banjir itu, beberapa isu telah dikenal pasti dan perlu ditambah baik antaranya peningkatan kompetensi dan kemahiran kepimpinan dalam agensi dan jawatankuasa peringkat daerah, negeri dan  peringkat pusat.

"Kaedah perintah dan kawalan, penggunaan sistem amaran yang lebih tepat dan lebih lama serta menyediakan logistik yang bersesuaian bagi operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan bencana ekstrem," katanya.

Najib berkata ini termasuk keperluan perolehan aset bot penyelamat yang berkeupayaan tinggi, jenis helikopter, penempatan pegawai berkemahiran dalam pengurusan di peringkat daerah dan negeri bagi memastikan penyelarasan operasi serta bantuan banjir dapat dilaksana dengan lebih berkesan.

Katanya, untuk jangka masa sederhana dan panjang, kerajaan akan melaksanakan projek-projek pencegahan banjir terutama yang mampu menghasilkan pendapatan seperti pembinaan empangan yang mampu menjana pendapatan elektrik.

Selain itu, kerajaan sedang mengkaji model terbaik pengurusan bencana yang dipraktikkan oleh negara yang sering dilanda malapetaka, katanya.

"Sebagai kesimpulan perlu ditegaskan sebarang bentuk pembangunan mestilah bersifat lestari dan mampan yang merangkumi pelaksanaan projek-projek pembangunan, perlombongan dan pembukaan tanah dan pembalakan," katanya.

Najib berkata pengajaran yang paling penting dalam insiden banjir itu, ialah perancangan pembangunan yang tidak mementingkan kelestarian alam sekitar akan membawa kemudaratan kepada manusia.

Beliau berkata dalam kejadian banjir melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak, kerajaan telah melaksanakan pelbagai tindakan termasuk meluluskan RM500 juta untuk bantuan banjir kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), RM800 juta untuk membaiki infastruktur yang rosak, RM893 juta untuk rancangan tebatan banjir dalam Bajet 2015 selain bantuan RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir dan RM5,000 kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga.

Menjawab soalan tambahan Azalina mengenai kajian menyeluruh aspek tindakan banjir, Najib berkata kerajaan sedang meneliti tempat penempatan banjir seperti sekolah akan dibina kemudahan asrama, pemindahan pencawang di tempat tinggi dan kawasan pendaratan helikopter.

Menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) mengenai penyediaan pelan kontigensi banjir dan pelaksanaan tebatan banjir di Kelantan, Najib berkata kerajaan komited untuk melaksanakan program pencegahan banjir berikutan

insiden Disember lalu disifatkan berlaku sekali dalam 100 tahun.

"Kita tidak mendiskriminasi mana-mana negeri seperti Kelantan termasuk dalam negeri yang kita akan memberi pertimbangan untuk melaksanakan projek pencegahan banjir yang boleh menjanakan pendapatan," katanya.

- Bernama