Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler di KM15.9 Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Nusajaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata dalam kejadian pada jam 7.20 pagi itu, pasangan berkenaan dari Taman Putri, Kulaijaya dekat Johor Bahru, sedang dalam perjalanan ke Singapura.

"Dipercayai motosikal Yamaha LC yang dinaiki mangsa melanggar belakang treler yang berhenti di lorong tengah akibat kerosakan pada brek.

"Akibat itu, pasangan suami ister yang berumur 37 dan 33 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hashim berkata ketika kejadian, cuaca adalah baik dan terang manakala laluan sehala tiga lorong itu rata dan lurus.

Beliau berkata siasatan lanjut kemalangan terbabit sedang dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, di Kuantan, bayi perempuan yang cedera parah dalam kemalangan yang mengorbankan ibu bapanya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) petang semalam, meninggal dunia malam tadi akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali memberitahu Bernama, bayi berusia sebulan itu, Noor Syamimi Tan Ahmad Yusri Syamil Tan, meninggal dunia pada pukul 11 malam ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 petang di Kilometer 210.6 LPT arah Kuantan -Kuala Lumpur dekat Gambang, bapa bayi itu, Tan Poh Chin @ Ahmad Yusri Syamil Tan Abdullah, 31, dan ibunya, Noor Hasnira Embong, 30, maut di tempat

kejadian kerana kecederaan teruk di kepala dan badan.

Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Saga BLM dinaiki tiga beranak itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terhumban ke dalam longkang simen di situ sebelum terbalik.

Kejadian berlaku semasa mangsa sekeluarga yang menetap di Terengganu dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuala Lumpur.

Manakala di Nibong Tebal, mayat yang hampir reput dengan tangan terikat dan leher terjerut kain, ditemui dalam kawasan hutan di Kampung Sethu pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mazlan Kesah berkata mayat lelaki itu ditemui seorang pencari buluh kira-kira pukul 10.17 pagi.

"Tangan mayat terikat tali nylon manakala lehernya terjerut dengan kain. Mayat hanya berseluar," katanya dan menambah tiada sebarang dokumen diri ditemui bersama mayat.

Beliau berkata kes disiasat bersabit bunuh.

- Bernama