Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak - yang menyaman Malaysiakini - hari ini memohon untuk membuang beberapa perenggan dalam pembelaan yang difailkan oleh portal berita bebas itu.
 
Ini dinyatakan oleh peguam Malaysiakini, Ashok Kandiah (kiri) apabila perkara itu dikemukakan untuk pengurusan kes hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
 
Bagaimanapun, tidak diketahui berapa banyak perenggan atau isu apa yang mahu dibatalkan oleh Najib, yang juga presiden Umno.
 
Najib dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusof telah memfailkan saman berhubung komen pembaca dalam dua artikel mengenai kemelut menteri besar Terengganu.
 
Dua artikel itu bertajuk 'A case of the PM reaping what it sows’ dan 'How much will Najib spend to keep Terengganu'.
 
Sebelum ini, dilaporkan bahawa hakim Datuk Kamaluddin Mohd Said akan terus mendengar kes itu walaupun telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Seremban.
 
Kandiah telah meminta penjelasan daripada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin.  [Baca berita penuh/asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan Najib dan Ab Rauf untuk membuang beberapa perenggan daripada kenyataan tuntutan balas dan bela diri Malaysiakini serta dua yang lain berhubung satu saman fitnah.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan, mewakili Najib dan Ab Rauf, memberitahu pemberita Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norfauzani Mohd Nordin menetapkan tarikh itu apabila perkara berkenaan dibawa kepada beliau untuk pengurusan kes.

Nor Hazira berkata permohonan yang difailkan pada 28 Januari itu, antara lain, dibuat dengan alasan tuntutan balas dan bela diri itu bersifat remeh, menyusahkan dan menyalahguna proses mahkamah.

Najib dan Ab Rauf memohon membuang lebih 50 perenggan daripada kenyataan tuntutan balas dan bela diri itu.

Perdana menteri memfailkan saman itu pada 30 Mei tahun lepas atas kedudukan peribadi beliau, manakala Ab Rauf, bagi pihak umno terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd, ketua pengarang kumpulan Malaysiakini.com Steven Gan dan ketua editor Fathi Aris Omar.