Tiga warga asing mati dibunuh
Tiga warga asing ditemui mati dibunuh dengan kesan tetakan pada anggota badan mereka di Tanah Perkuburan Kristian Jalan Cheras di ibunegara kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Zainuddin Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira 9 malam kelmarin, ketiga-tiga mereka bersama beberapa lelaki lagi sedang minum arak sebelum tercetus pergaduhan.
Katanya berdasarkan keterangan saksi, terdapat antara tujuh hingga lapan lelaki warga asing berkumpul di kawasan itu.
"Siasatan di tempat kejadian menemui tiga mayat lelaki warga asing berusia awal 20-an yang lengkap berpakaian dan berstoking, dengan kedudukan setiap mayat berada lebih kurang 30 meter antara satu sama lain.
"Mayat pertama mengalami luka pada bahagian tengkuk dan hampir putus serta tiga kesan tetakan pada belakang badan, mayat kedua mengalami kecederaan pada bahagian belakang kepala dan muka manakala mayat ketiga mengalami luka pada bahagian muka dan hampir putus pergelangan tangan kiri," katanya kepada Bernama semalam.
Zainuddin berkata tin-tin minuman keras ditemui berselerakan di kawasan itu serta lilin yang digunakan untuk menerangi kawasan berkenaan.
Bagaimanapun tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian, katanya.
"Kumpulan lelaki ini dipercayai datang dari perkampungan warga Myanmar yang terletak kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian dan operasi khas sedang dijalankan untuk memburu suspek yang terlibat," katanya.
Beliau berkata mayat ketiga-tiga warga asing itu telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.
- Bernama

