Sepuluh laporan polis dibuat oleh beberapa individu sepanjang berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Mazlan berkata laporan polis yang diterima adalah laporan biasa dan setakat ini tiada sebarang laporan berbaur hasutan dibuat oleh mana-mana pihak.

"Saya menasihatkan calon dan parti yang bertanding supaya tidak melakukan perkara yang tidak diingini dan patuhi peraturan yang telah ditetapkan di dalam permit.

"Jangan timbulkan perkara yang boleh cetuskan kebimbangan masyarakat kerana kita mahu kempen berlangsung dengan lancar dan aman," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu semalam.

Beliau berkata poster atau kain rentang mana-mana pertubuhan atau parti yang tidak bertanding pada PRK tersebut tidak dibenarkan digantung atau dipamerkan sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Selain itu, Mazlan berkata sembilan ceramah diadakan sepanjang tempoh berkempen ini dengan lima daripadanya adalah daripada parti PAS.

"Tiga ceramah diadakan oleh calon yang menggunakan lambang Gajah dan satu lagi oleh calon yang menggunakan lambang Buku," katanya.

PRK itu menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, dan empat calon Bebas iaitu bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; ahli perniagaan Aslah Mamat, 64; bekas Naib Presiden PERKASA Kelantan Sharif Mahmood, 59; dan Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin, 55.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Nik AbdulAziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.

Dalam PRU13, Nik Abdul Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan mengalahkan calon Barisan Nasional Wan Razman Wan Abdul Razak dengan majoriti 6,500 undi.

BN memutuskan tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi tumpuan kepada kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas.

Pengundian akan berlangsung pada 22 Mac.

- Bernama