Dua pemimpin tertinggi MIC mula berkempen
Kedua-dua pemimpin tertinggi MIC telah mula berkempen meraih sokongan bagi pemilihan semula parti itu yang dijadual Mei ini sementara menunggu Mahkamah Tinggi membuat keputusan terhadap permohonan bagi membatalkan arahan pemilihan semula itu.
Tindakan itu dilihat sebagai langkah berjaga-jaga oleh kedua-dua pihak sekiranya keputusan itu tidak dapat dibuat dalam masa tertentu, sehinggakan MIC berisiko dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Kehangatan pemilihan semula parti berusia 68 tahun itu kian terasa apabila Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dan Timbalan Presiden parti Datuk Seri Dr S Subramaniam kelihatan mula turun padang berkempen secara tidak langsung sejak akhir-akhir ini.
Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata kedua-dua pemimpin MIC itu telah dengan jelas mula mengukuhkan sokongan masing-masing dengan pertemuan dengan anggota akar umbi.
"Palanivel dan Subramaniam sudah mula bertemu penyokong di seluruh negara dan ini mungkin kerana mereka risau kemelut ini akan terus berpanjangan jika pemilihan semula tidak dijalankan.
"Walaupun Mahkamah Tinggi tetapkan 20 Mac ini untuk keputusan tetapi ia tidak dapat dijanjikan bahawa keputusan akan dibuat pada tarikh yang sama dan kelewatan itu mungkin akan menyebabkan MIC dibatalkan pendaftarannya selain mereka juga mungkin tidak mempunyai ruang masa yang cukup untuk berkempen," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menetapkan 20 Mac ini bagi keputusan bantahan ROS terhadap permohonan semakan kehakiman dikemukakan beberapa pemimpin MIC.
Pada 24 Februari lepas, Palanivel, dua Naib Presiden Datuk S Sothinathan dan Datuk S Balakrishnan, dan bekas Setiausaha Agung MIC A Prakash Rao memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan arahan ROS berhubung pemilihan semula beberapa jawatan utama parti.
Sivamurugan berkata tindakan bertemu dengan akar umbi parti adalah senario yang biasa namun dalam keadaan parti yang kini berada dalam keadaan "nazak", ia akan memberi impak mendalam dan positif kepada parti sekali gus pemimpin serta anggota MIC.
Adakah MIC akan meneruskan pemilihan semula parti atau menangguhkan pemilihan semula buat sementara waktu?, keputusan Mahkamah Tinggi Jumaat ini bakal menjawab persoalan ini.
Krisis MIC berlarutan berikutan perbezaan pendapat antara dua pemimpin utama parti setelah ROS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 jawatan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) yang diadakan pada November 2013, berikutan aduan penyelewengan.
Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, ROS telah mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh masa 90 hari.
- Bernama

