Tiga lelaki ditahan ugut pegawai kastam
Tiga lelaki ditahan kerana mengugut seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang sedang menjalankan pemeriksaan terhadap dua buah kereta di sebuah rumah di Jalan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa berkata tiga lelaki masing-masing berusia 21, 25 dan 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis kira-kira jam 4.15 petang.
Rohaimi berkata pegawai Kastam berkenaan meminta kunci kedua-dua kenderaan tersebut daripada seorang suspek namun diugut dengan kata-kata yang mengancam pegawai terbabit.
"Suspek enggan memberi kerjasama ketika diminta untuk menyerahkan kunci kereta dan telah mengugut mangsa.
"Selain itu, suspek juga bertindak mengarahkan dua rakannya membeli minyakpetrol untuk membakar kenderaan yang ingin diperiksa itu," katanya ketika dihubungi semalam.
Rohaimi berkata suspek bagaimanapun terpaksa mengalah dan menyerahkan kunci kenderaannya selepas mangsa meminta bantuan pihak polis.
"Apabila diperiksa, nombor casis dua kenderaan itu tidak sama dengan cabutan pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kedua-dua kenderaan kemudiannya dirampas dan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Sementara itu, beliau berkata dua daripada tiga suspek itu turut cuba melarikan diri ketika anggota polis menghampiri mereka.
"Pemeriksaan membawa kepada penemuan sebilah pisau dan tiga botol petrol dipercayai untuk digunakan membakar kenderaan itu, serta sebilah kapak kecil yang dibalut dengan kain.
"Kami turut menemui lima biji pil berwarna kemerahan dipercayai dadah di dalam poket seorang daripada suspek," katanya.
Rohaimi berkata kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya.
- Bernama

